Penubuhan Taman Herba Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Indah, Tampin, Negeri Sembilan telah diilhamkan oleh pengetua sekolah, Puan Soon Loi Thai yang sangat berminat dalam bidang tanaman herba.Sesungguhnya, usaha ini julung-julung kali dilaksanakan oleh pihak sekolah dalam sejarah 20 tahun kewujudannya. Malah, projek ini sekali gus merupakan taman herba terulung dalam daerah Tampin yang dianggap berjaya kerana begitu subur segala pokok-pokok herba yang ditanam.
Mengikut rekod, setakat ini belum ada mana-mana sekolah yang mengusahakan projek sedemikian rupa dan sekali gus menempa kejayaan yang begitu memberangsangkan pula. Hal ini demikian kerana bilangan jenis pokok herba yang ditanam begitu banyak sekali.Apa tidaknya, sebut saja mana-mana herba yang diperlukan, pasti akan terdapat dalam Taman Herba Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Indah.
Mesyuarat pertama telah dilangsungkan pada 17 Februari 2009. Sebuah jawatankuasa kerja telah diasaskan.Seramai 10 orang guru dipilih menganggotai jawatankuasa ini.
Secara tuntas, segala kejayaan yang diraih sehingga kini adalah berkat usaha gigih Encik Joseph Palany, salah seorang anggota Unit Keselamatan sekolah yang begitu berminat dalam bidang herba serta mempunyai ilmu perkebunan yang jitu lagi kental.
Sejurus selepas mesyuarat sulung, Encik Alex Ng Chan Heng, selaku Ketua Panitia Sains yang juga bertindak sebagai peneraju utama projek, segera mengorak langkah proaktif.Beliau telah berusaha keras mencari anak-anak pokok herba dari serata tempat.Usaha ini sememangnya banyak dibantu oleh Encik Joseph Palany, yang cukup arif dalam bidang ini.
Pada bulan Oktober 2009, taman tersebut telah dinaik taraf dengan pemasangan pagar baru. Sebanyak 70 keping papan tanda nama pokok juga telah dipasang begi memudahkan para guru, murid dan pelawat mengenalpasti jenis-jenis tumbuhan yang terdapat dalam taman herba.
Penyenggaraan harian taman ini juga diusahakan oleh Encik Joseph. Rumput rampai yang menjadi musuh pokok herba akan dibuang dari semasa ke semasa. Begitu juga, pokok-pokok herba akan dibajai apabila diperlukan bagi memelihara pertumbuhannya.
Dalam posting ini juga dipaparkan beberapa keping gambarfoto bagi menunjukkan kesuburan taman ini.